10 December 2020

10 Tanaman Herba Dapur Yang Berguna Untuk Masakan, Nak Masak Petik Jer!

Sibuknya bercucuk tanam sampai terabai blog kesayangan aku ni. Semenjak dua menjak ni aku sibuk melengkapkan laman dapur dengan pokok-pokok tanaman herba dapur yang berguna untuk masakan. Memudahkan  aku memasak iaitu apabila  nak masak petik jer. Terus basuh dan campak masuk dalam masakan... Huhu!

10 Tanaman Herba Dapur Yang Berguna Untuk Masakan, Nak Masak Petik Jer!
10 Tanaman Herba Dapur Yang Berguna Untuk Masakan, Nak Masak Petik Jer!


Aku tanam tanaman herba dapur yang benar-benar satu keperluan dalam masakan. Kalau tak ada tanaman herba dapur ini bagaikan tak lengkap masakan tau. Macam mana nak dapatkan benihnya itu, boleh beli di nurseri atau beli secara online. Kadang-kadang ada benih yang tak perlu ke nurseri. Beli untuk di buat rencah masakan, selebihnya tanam di sudut laman dapur. Lepas tu nak masak petik jer!

Jenis-jenis tanaman herba dapur ini  senang nak tumbuh dan hidup. Bukan saja senang hidup, tapi nak tanam dalam rumah pun boleh. Tak ada laman rumah pun boleh nak tanam.  Tapi sebelum nak bermula, pastikan ada tempat cahaya matahari yang elok. Pokok ni sekurang-kurangnya kena ada 6 jam cahaya matahari baru dia segar. Kalau letak kawasan dapur boleh, cuma pastikan kena matahari.



Kalau ada kawasan bertanah boleh tanam terus atas tanah. Tapi tau sajalah biasanya tiada ataupun hanya di beranda atau balkoni kecil. Boleh saja tanam dalam pasu atau polibeg. Susun elok-elok atas lantai atau menggunakan rak, mesti cantik kejadiannya. Gunakan tanah organik untuk penanaman dan selalu siram dengan air beras. Sebulan sekali guna baja tumbesaran untuk pokok berdaun juga baja bunga untuk yang berbuah. Sudah pasti tanaman herba dapur akan tumbuh subur dan meriah. 

Rumah aku walaupun bertanah tapi hanya tanah berbatu dari tambakan tanah dan sisa membuat rumah sebab kawasan rumah aku ini tanah gambut yang lembut. Namun begitu, di celah-celah batu-batu ini aku letak polibeg atau pun pasu dan tanam pokok tanaman herba dapur. Jangan kalah dengan keadaan, tanam jer!

Mari kita semak tanaman apa yang boleh di jadikan sebagai tanaman herba dapur ini:

10 Tanaman Herba Dapur Yang Berguna Untuk Masakan, Nak Masak Petik Jer!


- 1 - Pokok Serai 

Tanaman Herba Dapur


Di gunakan dalam pelbagai masakan Melayu seperti masak lemak, rendang, tomyam, asam pedas dan banyak lagi masakan yang memerlukan aroma serai. Ia adalahh sejenis tanaman rumput yang beraroma dan mempunyai rimbunan daun yang lebat. Cara tanam serai untuk tanaman herba dapur ini amat mudah iaitu dengan merendam batang serai dalam air lebih kurang 5 -10 hari. 

Apabila akar tumbuh, bolehlah di tanam di atas tanah atau tanam dalam pasu atau tanam dalam polibeg. Susun di kawasan tanaman herba dapur. Apabila pokok serai sudah merimbun, bolehlah petik batangnya untuk di gunakan dalam masakan. 

- 2 - Pokok Kunyit

Tanaman Herba Dapur


Kunyit  mempunyai pelbagai kegunaan dalam perubatan, kecantikan dan juga masakan. Untuk penngetahuan kunyit telah di gunakan sebagai salah satu bahan kecantikan sejak zaman dahulu kala lagi. Kunyit adalah bahan yang sangat unik. Selain isi yang kuning oren itu di gunakan sebagai pewarna dan penyedap masakan, daunnya yang beraroma itu juga banyak di gunakan dalam masakan.

Cara tanam hanya dengan membeli isi kunyit yang terdapat di pasar atau pasaraya yang menjualnya. Pilih isi yang mempunyai mata tunas berwarna keputihan. Dari mata tunas itulah akan keluar pucuk berdaun nanti.  Sediakan tanah organik yang boleh di beli di nurseri ataupun pasaraya yang menjual tanah. Tanam kunyit yang anda beli lebih kurang sedalam 2-3 inci dalam tanah. Siram 2 kali sehari.  Kebiasaannya  daun keluar dalam masa seminggu atau 2 minggu. Rajinlah siram dan membuat pembajaan. Pokok kunyit akan tumbuh subur.  Nanti daun dan isinya bolehlah jadi perencah dalam masakan. Apabila nak masak petik jer!

- 3 - Pokok Kesum

Tanaman Herba Dapur


Daun kesum adalah bahan wajib ada dalam masakan asam pedas dan laksa. Ia juga menjadi perencah sayur dalam nasi kerabu dan nasi ulam. Pokok berbatang lembut ini mempunayi aroma yang unik dan sangat di gemari oleh ramai orang. 

Cara penanamannya nampak sangat mudah tapi jika tak prihatin, ia mudah mati apabila terdedah kepada kekeringan. Daun kesum amat suka dengan tanah yang berair dan lembab. Jadi seeloknya tanam dalam pasu yang boleh menakung air. Batang kesum boleh di dapati di pasar dan di jadikan benih untuk penanaman. Ambil beberapa batang kesum dan rendam dalam air lebih kurang 5 -10 hari. Setelah berakar, bolehlah di tanam di dalam pasu yang menakung air.

- 4 - Pokok Pandan

Tanaman Herba Dapur


Daun pandan mempunyai aroma yang wangi. Ia di gunakan sebagai pewangi dan pewarna dalam masakan terutamanya dalam pembuatan kuih muih Melayu. Yang paling di ingati adalah bau nasi lemak yang wangi dek bauan daun pandan. Daun pandan walaupun sifat semulajadinya perlukan kawasan yang berair untuk tumbuh tapi ia masih sesuai di tanam di dalam pasu asalkan mendapat air yang mencukupi untuk pertumbuhan.

Cara tanam adalah dengan mendapatkan anak pokok yang telah berakar. Boleh di dapati di nurseri atau dari sesiapa yang ada menanam pokok pandan. Untuk penanaman, sediakan medium tnah organik di dalam pasu dan tanam bahagian akar pandan terus ke dalam tanah. Selesai di tanam terus lakukan siraman  dan letakkan di kawasan yang tidak menerima pancaran panas matahari yang terik. Siram seperti biasa setiap hari melainkan jika hari hujan.

- 5 - Pokok Kari

Tanaman Herba Dapur


Daun kari merupakan elemen penting dalam masakan kari. Kalau tak ada bagaikan tak lengkap hidangan kari. Juga antara rencah penting untuk menggoreng ayam goreng berempah, kuih siput dan beberapa lagi makanan bergoreng yang menggunakan rempah. Jadi lebih mudah sekiranya daun kari hanya dipetik di tepi rumah apabila ingin memasak a.k.a nak masak petik jer!

Cara tanam pokok kari boleh melalui anak pokok kari yang selalunya tumbuh di sekeliling pokok kari yang matang. Bagi pertumbuhan yang baik, pastikan memilih anak pokok yang tidak terlalu kecil atau terlalu besar untuk memastikan pokok kari tumbuh subur.  Anak pokok yang di ambil, perlu ditanam terus supaya anak pokok tidak layu dan kekeringanSekiranya ditanam di dalam pasu atau polibeg, pastikan pilih pasu atau polibeg yang bersaiz besar supaya akar mempunyai ruang yang cukup untuk membesar.

Pokok kari merupakan pokok yang agak lasak. Tidak memerlukan pembajaan yang sistematik. Namun, digalakkan untuk memberi baja organik supaya pokok mempunyai nutrien untuk membesar dengan subur. Oleh kerana pokok kari sangat  di perlukan dalam masakan, sangat sesuai ia meenjadi pelengkap untuk tanaman herba dapur. 

- 6 - Pokok Limau Purut

Tanaman Herba Dapur


Daun limau purut banyak kegunaannya dalam masakan. Oleh itu ia menjadi pilihan untuk menjadi salah satu tanaman herba dapur yang sangat bermanafaat. Daun limau purut di gunakan secara meluas dalam masakan seperti tomyam dan rendang. Aromanya yang kuat menjadi perisa yang boleh menyedapkan masakan.

Cara tanam adalah sangat mudah iaitu dari keratan batang. Boleh juga di semai dari biji benih tetapi pertumbuhan agak lambat. Limau purut memerlukan kawasan yang mempunyai cahaya matahari yang tinggi iaitu antara 6-8 jam sehari. Selain itu, tumbuhan limau purut tidak suka pada teduhan. Limau purut perlu di siram satu kali sehari untuk memastikan keperluan air adalah cukup. Penyiraman berlebihan boleh mengakibatkan penyakit reput akar. Dengan pembajaan yang konsisten  dan  nutrien yang mencukupi akan mendapatkan  pokok yang sihat di ikuti dengan pembungaan dan buah yang banyak.

- 7 - Pokok Pudina

Tanaman Herba Dapur


Daun pudina banyak di gunakan sebagai ulam dalam laksa. pewangi untuk nasi briyani dan juga boleh di masukkan dalam air minuman untuk memberi rasa kesegaran yang cukup isitimewa. Jadi eloklah pokok pudina menjadi salah satu tanaman herba dapur. Tambahan pula pokok pudina ini adalah tumbuhan menarik untuk di jadikan hiasan laman rumah.

Oleh sebab pokok pudina alah kepada kekeringan sebaiknya tanam dalam kaedah ala-ala hidroponik. Iaitu menggunakan botol minyak masak besar yang di potong dua. Terbalikkan muncung dan letak filter di muncung bekas. Isi air di dalam bekas di bawah.  Letak tanah organik di dalam bekas yang muncungnya di tebalikkan itu.  Beberapa hari sebelum itu semai batang pudina di dalam bekas berair hingga berakar. batang pudina yang berakar itulah di tanam di dalam bekas. Pembajaan adalah seperti penanaman biasa. Insya'allah pokok pudina akan tumbuh subur dan menjadi rumpun yang cantik. Bila nak di gunakan dalam masakan atau dibuat ulam, nak masak petik jer!

- 8 - Pokok Limau Kasturi

Tanaman Herba Dapur


Buah limau kasturi sangat banyak kegunaanya dalam masakan dan juga minuman. Dalam masakan ia menjadi perisa dalam pelbagai masakan pedas dan masam. Juga satu bahan penting dalam pembuatan sambal belacan. Tanpa limau kasturi  sambal belacan pasti menjadi hambar dan kurang menepati selera. 

Cara tanam juga sangat mudah iaitu  hanya dengan keratan batang. Caranya pilih keratan batang yang telah matang. Potong dan buang semua daun. Buat lubang dalam tanah yang lembab. Mssukkan batang tadi dan padatkan tanah. Tunas daun akan tumbuh setelah selepas 1 minggu di tanam. Pokok boleh di cantas apabila batang memanjang untuk pohon bercabang dan rendang. Pembajaaan seperti biasa dalam 2 minggu sekali. Meriah tanaman herba dapur nanti apabila pokok limau kasturi berbuah lebat.

- 9 -  Pokok Kucai

Tanaman Herba Dapur


Daun kucai enak di jadikan penyedap masakan dalam masakan char kuay teow, mee goreng, meehoon goreng dan juga ramuan dalam cucur udang. Kucai adalah sejenis tumbuhan yang senang di tanam. Kucai boleh hidup di bawah panas matahari ataupun di teduhan. Jika kemarau sedikit-sedikit juga tidak mengapa kerana bawangnya masih ada. Sama seperti bawang, kucai ada akar berbawang dan daun. Jadi kucia amat sesuai di jadikan sebagai tanaman herba dapur sebagai hiasan dan juga boleh di gunakan dalam masakan. 

Cara tanam adalah sungguh mudah. Boleh di ambil benihnya dari rumpun bebawang ataupun di tanam dengan menggunakan biji benih. Tanah yang di perlukan adalah tanah yang kaya dengan nutrien dan pembajaan pula menggunakan baja tinja ayam atau kambing. Apabila sudah tumbuh subur boleh di potong daunnya dan di gunakan dalam masakan. Dalam masa seminggu rumpun kucai akan tumbuh daun seperit sediakala dan boleh di potong berkali-kali selagi bebawang masih ada. Apabila rumpun bebawang sudah penuh dalam pasu, boleh di asing-asingkan rumpun untuk penanaman semula. Ia dalah tanaman herba dapur yang sangat produktif. Nak masak petik jer di laman dapur.

- 10 - Pokok Cili Api

Tanaman Herba Dapur


Pokok cili api atau cili padi atau cabai burung adalah sejenis pokok yang sama. Cuma sebutan sahaja
berlainan mengikut daerah dan tempat. Rasanya yang sangat pedas namun digemari ramai terutama masyarakat tempatan khususnya di Negeri Sembilan yang terkenal dengan masakan lemak cili padinya. Selain dari itu juga cili padi dibuat ulam yang dihiris kecil dan dimakan bersama cencaluk, budu atau di tumbuk di buat sambal belacan dan dimakan bersama nasi.   

Cara tanam adalah menggunakan biji benih dari buah yang matang. Ambil bijinya dan jemur sebentar sehingga kering. Seterusnya semai di dalam bekas dan tanah yang sesuai. Apabila anak benih berdaun 4 -5 helai, boleh pindahlan ke dalam tempat atau pasu yang sesuai. Selepas itu buatlah pembajaan dua minggu sekali ataupun siram air beras hampir setiap hari. Pokok cili api akan tumbuh subur dan berbuah lebat. Akan meriah tanaman herba dapur ini di sudut laman dengan warnanya yang merah itu. Nak di gunakan apabila nak masak petik jer.

Sebenarnya masih ada lagi beberapa bahan masakan yang boleh di jadikan tanaman herba dapur seperti  pegaga, bayam brazil, cekur, temu pauh, daun sup, pokok asin-asin dan banyak lagi pokok herba. Tapi cukuplah  hanya 10 jenis tanaman ini aku war-warkan untuk di tanam menjadi tanaman herba dapur. Nanti tanam banyak-banyak takut tak muat laman tepi dapur dengan tanaman herba dapur ini. Aku dah tanam semua tu, anda bila lagi... hehe!

Nak dapatkan berbagai informasi dan tips di blog ini, klik SINI

p/s : Untuk pembajaan sebenarnya tak perlu susah payah. Hanya gunakan apa saja yang ada di dapur untuk di buat baja untuk tanaman herba dapur ini. Ia  seperti air beras, nasi basi, roti tamat tempoh, kulit bawang dan juga kulit telur. Jimat sangat dari membeli baja di pasaran tau!

3 comments:

  1. memang bagu kalau semua tanaman ni ada kat belakang rumah.

    ReplyDelete
  2. Memang berguna kak kalau tanam semua ni..kat pasaran pun mahal dah..bila tanam dan nak guna senang je..

    ReplyDelete

PENAFIAN

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di annurbe.noor@gmail.com


[PENAFIAN] www.huhahuhajerr.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.


Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.


Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.


Sekian...