27 July 2020

Perempuan Ada Misai, Banyak Bulu, Puncanya Hormon Testosteron Tinggi Ke?

Testosteron merupakan hormon androgen yang signifikan bagi kaum lelaki. Hormon inilah yang membezakan lelaki dan perempuan dari segi fizikal. Namun, tahukah anda hormon penyebab tumbuhnya otot, janggut dan juga punca suara menjadi dalam ini sebenarnya bukan terhad kepada lelaki sahaja.

Perempuan Ada Misai, Banyak Bulu,  Puncanya Hormon Testosteron Tinggi?
Perempuan Ada Misai, Banyak Bulu,  Puncanya Hormon Testosteron Tinggi Ke?

Malah, perempuan juga ada hormon testosteron di dalam badan! Jadi, jangan anggap hormon ini ada pada kaum adam sahaja ya.

Wanita ada hormon testosteron?


Sebenarnya, semua wanita mempunyai sedikit hormon testosteron di dalam badan. Ovari wanita merembeskan kedua-dua hormon testosteron dan estrogen ke dalam salur darah.Testosteron bersama-sama dengan estrogen (hormon seks wanita) berfungsi untuk mengekalkan kesihatan tisu reproduktif wanita.



Selain itu, hormon ini juga memastikan tulang dan juga otot kekal kuat selepas baligh. Hormon ini juga penting untuk mengekalkan libido wanita pada tahap normal. Kadar testosteron yang normal dalam badan lelaki ialah sebanyak 300 – 1000 ng/dL. Manakala, bagi wanita pula adalah sebanyak 9 – 55 ng/dL.

Jika kadar testosteron anda melebihi kadar normal, anda mungkin akan mengalami pelbagai masalah seperti tumbuh bulu secara abnormal ataupun mengalami jerawat yang teruk pada wajah.

Tanda-tanda hormon testosteron tinggi


Jika seseorang perempuan itu mempunyai kadar testosteron yang tinggi di dalam badan, dia mungkin akan mengalami perubahan dari segi fizikal dan juga kesihatan secara umum.

Antara tanda-tanda testosteron tinggi di dalam badan ialah:

  • Banyak jerawat
  • Mempunyai suara yang dalam
  • Tumbuh banyak bulu pada kawasan muka
  • Haid tidak teratur
  • Penambahan otot pada badan
  • Rambut gugur
  • Payudara mengecil


Testosteron yang terlalu tinggi dalam badan wanita boleh mengakibatkan obesiti dan kemandulan. Oleh itu, jika anda mengalami simptom-simptom ini, penting untuk anda berjumpa dengan doktor pada kadar segera.

Anda mungkin menghidap PCOS atau Sindrom Ovari Polisistik yang boleh mengakibatkan kemandulan.

Namun, jika simptom-simptom yang dialami adalah teruk, mungkin anda sebenarnya menghidap penyakit yang anda tidak tahu! Jangan sesekali anggap tumbuh bulu pada muka seperti misai ataupun janggut adalah normal dan hanya disebabkan oleh faktor genetik semata-mata.

Berikut merupakan 3 penyakit yang sering dikaitkan dengan kadar testosteron yang tinggi dalam kalangan wanita.

1. Hirsutism

Penyakit hirsutism akan membuatkan wanita mengalami pertumbuhan rambut dan bulu secara abnormal dan menyerupai lelaki. Pesakit yang menderita dengan kondisi ini mungkin akan mengalami virilisation. Virilisation ialah kondisi di mana perempuan akan mempunyai ciri fizikal seperti lelaki.

Wanita tersebut akan mula tumbuh janggut ataupun misai dan tumbuh bulu secara abnormal pada badan. Penghidap hirsutism mungkin mengalami PCOS, tetapi tidak semua. Ada juga di antara penghidap hirsutism yang lahir dengan folikel rambut yang sensitif terhadap hormon androgen.

2. Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

Wanita yang mempunyai kadar testosteron yang tinggi mungkin menghidap polycystic ovarian syndrome atau Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), satu penyakit hormon yang pada akhirnya boleh mengakibatkan kemandulan.

Polisistik bermaksud ‘banyak cyst’. Ini merujuk kepada folikel-folikel yang terdapat dalam ovari. Folikel ini yang menyebabkan ovum tidak dapat berkembang dan tidak dapat dilepaskan secara normal.
70% daripada wanita penghidap PCOS tidak pernah didiagnosis. 10% daripada wanita yang mempunyai kadar testosteron yang tinggi pula mempunyai PCOS.

Wanita yang mengalami PCOS akan mengalami simptom yang sama seperti simptom kadar testosteron tinggi seperti rambut gugur, jerawat, dan period yang tidak stabil. Penghidap PCOS juga mungkin menghidap obesiti. Oleh itu, pesakit PCOS selalunya akan turut mengalami penyakit lain seperti diabetes dan sakit jantung. Hirutism juga merupakan salah satu simptom PCOS.

3. Congenital adrenal hyperplasia (CAH)                        

CAH ialah kondisi genetik yang menyebabkan kelenjar adrenalin tidak dapat menghasilkan hormon kortisol, Mineralocorticoids dan androgen seperti testosteron. Jika salah satu hormon tidak dapat dihasilkan, pesakit CAH akan membuat hormon lain untuk menggantikan hormon tersebut.

CAH ialah sejenis kondisi yang tidak mempunyai penawar. Namun, penghidap CAH boleh mengalami kehidupan yang normal seperti orang lain.

Diagnosis


Doktor boleh menentukan punca masalah hormon testosteron tinggi dalam kalangan perempuan dengan 3 cara:

1. Pemeriksaan fizikal

Doktor akan memeriksa perubahan fizikal pada badan pesakit seperti kehadiran jerawat ataupun bulu pada badan dan muka. Doktor juga mungkin bertanya tentang libido, kitaran haid, ataupun sebarang perubahan dari segi mood.

2. Pemeriksaan darah

Doktor akan mengambil sampel darah untuk mengetahui kadar testosteron dalam darah anda. Ujian akan dilakukan pada waktu pagi di mana kadar testosteron adalah paling tinggi.

3. Ultrasound

Penyakit seperti PCOS yang menyebabkan kadar testosteron yang abnormal boleh dikesan melalui ultrasound. Jika anda mengalami tanda-tanda di atas, berjumpalah dengan doktor untuk rawatan lanjut.

#kredit hellodoktor

2 comments:

  1. Good info utk baca. Dalam bahasa pasar, org kata hormon tak stabil kan.huhu.

    ReplyDelete
  2. Oooo... begitu ceritanya ye. Tq for sharing.

    ReplyDelete

PENAFIAN

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di annurbe.noor@gmail.com


[PENAFIAN] www.huhahuhajerr.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.


Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.


Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.


Sekian...